PORT DICKSON 17 Mac – Ayam serama iaitu ayam paling kecil dan ringan di dunia seringkali digambarkan sebagai haiwan perhiasan yang indah ciri-cirinya.
Apatah lagi saiznya hanya satu pertiga saiz ayam jantan, paling jinak di kalangan spesiesnya dan mudah dipelihara berbanding haiwan perhiasan lain seperti burung mahupun kucing.
Jadi bukan sesuatu yang menghairankan jika hobi memelihara ayam serama cukup popular dan boleh dianggap fenomena terutama di kalangan penduduk Pantai Timur.
Populariti ayam tersebut juga kini menjadikan ia bukan saja digemari oleh orang dewasa tetapi generasi muda daripada pelbagai lapisan peringkat usia.
Kenapa tidak? Pertandingan Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama Port Dickson (PD) 2009 yang berlangsung di sini baru-baru ini berjaya menarik perhatian penduduk seluruh Malaysia terutama golongan belia berhimpun dan mempamerkan keindahan ayam serama belaan masing-masing.
Kebanyakan daripada mereka sanggup berjalan jauh dari Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Melaka untuk menyertai pertandingan yang julung-julung kali diadakan di negeri ini.
Menurut salah seorang peserta, Abdul Rahman Yaacob, 35, menyertai pertandingan seumpama itu sudah menjadi satu kemestian sehingga beliau sanggup merantau ke mana saja mengusung ayam serama belaan.
‘‘Sudah lebih 10 tahun saya membela ayam serama dan menyertai pelbagai pertandingan di seluruh negara. Ia sangat menyeronokkan apabila dapat mempamerkan keindahan ayam yang kita pelihara,” katanya yang berasal dari Melaka.
Selain itu, katanya, hobi tersebut mempunyai cabaran tersendiri iaitu memelihara di samping menjaga dan membelai haiwan itu sehingga menjadi jaguh.
‘‘Malah kacukan juara ini juga sering dicari oleh penggemar ayam serama yang sanggup membayar beribu-ribu ringgit,’’ katanya.
Katanya, seekor ayam serama mampu dijual pada harga sehingga RM6,000 mengikut usia dan baka.
‘‘Saya pernah menjual ayam serama jaguh dengan harga RM5,000 hingga RM6,000 seekor. Memang tidak dapat dinafikan perniagaan ayam serama ini lumayan tetapi saya hanya menjualnya kepada rakan dan saudara sahaja.
Seorang lagi peserta yang turut memenangi kategori juara dalam pertandingan tersebut, Amir Zayyani Zahari, 26, berkata, hobi memelihara ayam serama itu timbul setelah dihadiahkan oleh seorang rakan.
‘‘Mula-mula memang tidak berminat langsung walaupun banyak orang cakap hobi ini cukup menyeronokkan. Sehinggalah seorang rakan menghadiahkan saya seekor anak serama lebih setahun lalu.
‘‘Hobi ini memberikan kepuasan apabila melihat ayam serama milik kita jadi cantik dan seterusnya menjadi juara,” kata beliau yang berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM).
Amir berkata, membela ayam serama juga cukup mudah dan murah perbelanjaannya berbanding dengan memelihara burung atau kucing.
‘‘Untuk makanan saya hanya memerlukan belanja RM5 hingga RM10 saja seminggu. Tetapi apa yang penting adalah saya harus rajin menjaga dan membelainya,’’ katanya.
utusanN9@utusan.com.my
Info: http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment