~~~~~Selamat Datang~~~~

Kepada Pengunjung Blog Serama Parit Buntar saya merakamkan Ribuan Terima Kasih dia atas kesudian anda melayari blog ini. Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf sekiranya paparan yang ditulis ada menyinggung perasan mana-mana pihak, sesungguhnya saya hanyalah insan biasa lumrah manusia ada melakukan kesilapan dan mohon dimaafkan sekiranya blog ini menyinggung mana-mana individu atau pihak di atas penulisan saya. (0165047301)



Selamat Datang dan Terima Kasih

Thursday, April 7, 2011

Ayam Serama di Berita Harian !



Assalammualaikum dan Salam Satu Malaysia...

Pagi tadi masa sarapan pagi seorang teman sekerja tanya saya dah baca ke artikal pasal Ayam Serama dalam akhbar Berita Harian bekenaan tentang penjagaan dan banyak lagi... Apa lagi habis jerr sarapan terus belek Berita Harian dan ceritanya seperti di bawah...:

Abadi cinta dengan membuka ladang unggas

DIA rancak bercerita, memuji-muji betapa cantik ayam serama. Sinar matanya saja, sudah cukup memberitahu, memang benar dia gilakan unggas mahal itu.

Pada mata bukan peminat ayam katik, ia pastinya hanya sekadar ayam mahal, buruan sang pencintanya, yang sanggup berhabis puluhan ribu ringgit bagi mendapatkan seekor untuk dimiliki sebagai haiwan peliharaan atau dijadikan taruhan atas meja pertandingan.

Mardiana Mohd Noor, 33, atau lebih mesra dengan panggilan Diana, bukan nama asing lagi dalam pertandingan ayam serama. Menyertai lebih 30 pertandingan ayam serama dalam tempoh setahun, menunjukkan komitmen tingginya dalam permainan berkenaan.

Menariknya dalam setiap pertandingan disertai, hanya dia seorang wanita.

“Yang lain semua lelaki, justeru tidak keterlaluan dikatakan, saya mungkin wanita tunggal bermain ayam serama di sini,” katanya tersenyum.

Membuktikan kata, kediamannya terletak di Gombak dipenuhi ayam serama. Malah, sekali pandang bagaikan mini zoo. Selain berpuluh-puluh sangkar ayam yang dijaga dengan baik oleh pekerjanya, rumah berkembar miliknya itu, satu bahagian diduduki Diana sekeluarga, sementara satu lagi, menempatkan puluhan ekor kucing pula. Selain serama dan kucing, ada monyet, ikan serta burung kakak tua.

Mungkin berkat sayangkan haiwan itu menjadikan rezekinya semakin bertambah. Diana dan suami turut memiliki perniagaan lain, termasuk kedai haiwan, AD Pet Shop, Kawalan Keselamatan Sentral, AD Andaman dan AD Ternak Jaya.

Minatnya itu sebenarnya banyak dicetuskan suami, Azhar Ngah, kira-kira empat tahun lalu.

Ibu kepada anak perempuan, Putri Eneilly, 13 tahun itu berkata, seekor anak serama yang baik boleh mencecah harga RM800 hingga RM1,000.

Pada mata Diana, ayam itu amat istimewa. Istilah ‘tengok ayam’ sudah serasi dengan beliau. Katanya, menilai ayam bermula balung hingga ke kakinya, selain aktif atau tidak ketika pertandingan berlangsung.

“Memastikan ia kekal sihat, ayam itu diberi makan makjun dan minyak ikan. Ayam, cantik bila dimandikan dan kita pula selalu mengurutnya. Mandi serta menjemurnya, boleh memastikan ia bebas daripada hama. Setiap serama diletakkan dalam sangkar mengelakkan ia daripada digigit nyamuk. Satu sangkar menempatkan jantan dan betina. Saya dan suami sependapat, haiwan sihat dan cergas memerlukan pasangan, sama juga seperti manusia,” katanya.

Biarpun tampak mudah, sebenarnya memelihara ayam tetap menyumbang kepayahan. Kesulitan terbesarnya adalah dalam proses penetasan telur. Cuaca sangat mempengaruhi kesuburan ayam serama. Cuaca yang terlalu dingin boleh menurunkan kemampuan ayam betina untuk bertelur.

Untuk memastikan ia sentiasa hangat dan selesa, setiap sangkar perlu diletakkan mentol lampu. Suhu dalam proses penetasan tidak boleh lebih atau kurang daripada 37.5°C hingga 38°C. Malah, kelembapan udara diambil kira, ia harus selalu disesuaikan dengan usia telur.

Untuk telur yang berumur satu hingga dua minggu, kelembapan diatur pada sekitar 65 peratus hingga 70 peratus. Dua sampai tiga hari menjelang menetas, kelembapan telur harus ditambah hingga antara 95 peratus hingga 100 peratus.

Pengaturan kelembapan sangat penting, sebab keadaan udara terlalu kering akan membuat kulit telur ayam serama menjadi keras. Akibatnya, anak ayam serama susah memecah cengkerang telur, sehingga boleh menyebabkan kematian.

Mencungkil rahsia ayam serama yang cantik, Diana berkata, anak yang ‘dijangka’ lahir perlu dikacukkan antara jantan serta betina dan menjadi ‘pantang’ jika berlaku ‘sumbang mahram’. Kerana itu, setiap telur dan anak baru lahir akan mempunyai ‘sijil kelahiran’ masing-masing.

“Sumbang mahram akan melahirkan anak yang bukan saja tidak cantik tapi tidak panjang umur. Untuk mengacukkan ayam, kita perlu ‘membantu’ ayam itu semasa proses mengawan. Bantuan daripada manusia diperlukan sebab bentuk tubuh badan ayam yang lentik dan kecil, kadangkala menyebabkan ayam jantan tidak mampu melakukannya dengan baik,” katanya.

Begitupun, ayam hasil kacukan tidak semestinya terus ‘menjadi’ cantik melentik. Diana dan suami akan ‘membentukkan’ lentik ayam berkenaan menerusi teknik urut yang diamalkan sejak kecil.

“Kita tidak boleh harap bentuknya akan cantik melentik secara semula jadi, sebaliknya sejak kecil lagi anggota tubuh badannya akan diurut supaya terbentuk cantik. Semakin lentik bentuknya, semakin mahallah ia,” katanya.

Untuk menyertai pertandingan pula, Diana mempunyai sekumpulan serama khusus yang sudah arif beraksi atas meja pertandingan.

“Dalam pertandingan serama, kita tidak boleh harapkan tuah semata-mata. Ayam itu sendiri kita perlu latih dari peringkat awal lagi. Bagi ayam yang sudah biasa beraksi, dia akan terus melentikkan badannya atau berjalan melenggok dengan cantik depan juri,” katanya yang mempunyai berpuluh-puluh piala kemenangan.

Menariknya, selain membela dan menjual, menerusi pertandingan serama, pemilik juga memperoleh keuntungan apabila ayam dipertandingkan, memperoleh kemenangan.

Rumah kediaman Diana di situ sebenarnya tidak cukup menempatkan serama. Dalam usaha meluaskan lagi minat itu, Diana dan suami kini berada dalam peringkat membina ladang serama di Bentong Pahang.

Kini, lebih 70 peratus ladang berkenaan sudah siap dan ladang itu bakal menjadi zoo kecil yang membolehkan orang ramai datang berkunjung. Menariknya kata Diana, setiap haiwan itu dibiar lepas bebas membolehkan orang ramai memegangnya.

Dalam kalangan rakan, Diana tidak segan dikatakan bagai belangkas dengan suaminya. Selain mempunyai minat sama, terhadap haiwan serta sukan badminton, mereka berdua sebenarnya pasangan yang saling menyokong antara satu sama lain.

“Tidak timbul soal saya ‘terpaksa’ mengikut minat suami. Minat yang sama menjadikan ia landasan untuk kami terus menyuburkan lagi ikatan kasih sayang. Pada saya apabila mendirikan rumah tangga dan bergelar isteri, saya akan melakukan yang terbaik untuknya,” katanya.

INFO : Penjagaan serama

Sangkar haiwan perlu cukup luas menempatkan haiwan ini. Jejaring halus perlu dipasang untuk mengelakkan ia daripada digigit nyamuk. Kebersihan sangkar perlu diberi perhatian bagi mengelakkan jangkitan kuman, hama, kutu atau kulat.

Sangkar perlu dilengkapi mentol lampu yang tidak terlalu tinggi kuasanya. Ia berperanan menyedut udara dalaman supaya sentiasa berada dalam keadaan nyaman.

-Alas bahagian sangkar dengan permaidani. Ia perlu ditukar selalu supaya sentiasa bersih.

-Bekas makanan atau minuman perlu sentiasa dibersihkan dan diletakkan pada bahagian tepi bagi memberi ruang pada ayam melompat-lompat.

-Suntikan vaksin pertama adalah ketika ayam berusia 40-50 hari dan setiap tiga bulan berikutnya, ubat cacing pertama pada usia 30-40 hari dan setiap 2-4 bulan berikutnya.

-Vitamin tambahan perlu bagi membantu kesihatan dan kecantikan serama, kebiasaannya penggemar dan penternak ayam memberikan asid amino, minyak ikan, vitamin B-kompleks dan sebagainya.

-Jika diserang sebarang penyakit, ternakan hendaklah dibawa ke klinik haiwan segera untuk mendapatkan rawatan.


(diambil dari http://www.bharian.com.my)

No comments:

Post a Comment